03 February 2011



Rintihan Ayah Bonda


Betapa mata ini berat memandang, anakku
Betapa hati ini hancur bak kaca terhempas di batu
Tatkala melihat dirimu berubah sikap
Corak pakaianmu, mentalitimu dan gaya hidupmu
Sudah jauh berbeza dari dahulu
Malah dirimu seakan tidak kukenali lagi
Ke mana didikan agama yang kuberi
Ke mana nilai kasih sayangmu terhadap keluarga
Ke mana hilangnya warisan ilmu
Adakah disambar kejutan budayamu disana?
Atau sengaja berbuat lupa
Kerana diri rasa cukup hebat
Dan kolot jika dilabel ‘budak baik’
Yang masih mengekalkan kesantunannya?

Betapa air mata ini mengalir kecewa
Pengorbanan ayah ibu bak tak berharga
Segala didikan murni bagai tak pernah dipelajari
Malu mengenangkan arahmu, anakku
Ayah ibu tak pernah mengajarmu begini
Menonton kehidupanmu kini
Hati ini menjerit pilu
Adakah kau masih bertiang agama
Solatmu masihkah cukup lima
Doamu tetapkah mengharapkan redhaNya
Atau sudah lupa menyebut kalimahNya?

Anakku,
Ayah ibu masih mengasihimu
Kasih sayang kami tak boleh dijual beli
Bukankah air yg dicincang tak akan putus
Namun kami tak pernah mengharapkan balasan
Kemewahan atau kebendaan duniawi
Wang ringgit tak akan mengabui mata kami
Takkah kau sedar pengorbanan kami dahulu
Berlinang keringat, darah dan air mata
Kerana sedar anak adalah amanat Allah
Pengorbanan kami memikul tanggungjawab
Utk mendidikmu dgn sempurna
Pendidikan, agama dan akhlak
Bukan sekadar kejayaan mengejar duniawi

Anakku,
Ayah ibu masih menyayangimu
Sekalung doa masih mengiringi diakhir solat
Mulut ini tak jemu berbisik
Memohon kepadaNya agar kau sedar
Hidup ini tak bermakna
Tanpa nur cahaya di dalam jiwa
Ketenangan tak akan kau kecapi
Selagi hayatmu bergelumang dosa
Ketahuilah anakku
Kekecewaan ayah ibu
Bertali arus tak berhenti
Selagi hatimu tak diketuk
Cahaya keinsafan sejati….
Hanya doa-doa sajalah mengiringi kami…


Karya:
Persahabatan

Persahabatan
jambatan siratulrahim
sesama insan kita bajai
perasaan kasih sayang tulus dan suci
seumpama mengasihi diri sendiri...

Persahabatan murni
milikan bererti
harum mewangi bak aroma kasturi
teman menangis jua ketawa
berada di sisi di saat derita
sedia mendengar sanggup membantu
bermanis muka biarpun hiba
pemberi semangat dan harapan
penawar hati penajam fikiran
menyedarkan kita ketika alpa...

Sahabat sejati
ibarat sebutir bintang begermerlapan
di antara jutaan bintang di langit kelam
Jangan biarkan ia malap
peliharalah ia dengan keikhlasan
teguhkan persefahaman
binakan ikatan mesra
moga ia terus bersinar....


Karya:
Anna Abadi®